Sabtu, 22 Ogos 2009

KOMUNIKASI MURID-MURID BERMASALAH PENDENGARAN

1.0 Pengenalan

Komunikasi adalah proses di mana seseorang itu bertukar maklumat dan idea. Menurut Owen (1990), maklumat diterima dan saling memahami. Komunikasi menggunakan petuturan dan bahasa, aspek lain perlu diambil kira seperti bentuk, intonasi, penekanan suara dan gaya pertuturan yang boleh menggambarkan emosi dan sikap penutur yang memberikan pelbagai makna. Komunikasi bukan sahaja menggunakan bahasa tetapi boleh juga terjadi melalui gesture (tanda isyarat), gerak badan, eye contact dan ekspresi atau mimik muka. Komunikasi begini digunakan dalam kalangan orang-orang yang mempunyai masalah pendengaran. Julia Jantan dan Siti Suhaila Samian (2007), menyatakan masalah pendengaran merupakan kehilangan seluruh atau sebahagian kemampuan mendengar daripada satu atau kedua-dua belah telinga. Tahap kehilangan pendengaran adalah ringan 20dB hingga 40dB, sederhana 40dB hingga 60db, teruk. 60dB hingga 90dB dan sangat teruk 90dB keatas. Masalah utama kanak-kanak bermasalah pendengaran ialah kesukaran dalam pertuturan, bahasa dan berkomunikasi secara lisan. Kanak-kanak bermasalah pendengaran kurang dan tidak diberi peluang untuk bertutur dan berkomunikasi dengan individu normal. Faktor ini menyebabkan proses perkembangan bahasa, pencapaian akademik dan psikososial mereka terjejas.
1.1 Masalah komunikasi bermasalah pendengaran
Kebanyakan ibubapa berpendengaran biasa yang mempunyai anak pekak (di Malaysia) tidak berpendidikan tinggi, tinggal di luar bandar dan tidak mengambil berat tentang kepentingan komunikasi menyebabkan mereka tidak pasti apakah bentuk bahasa (lisan, isyarat, tulisan) yang patut digunakan bagi tujuan komunikasi. Kanak-kanak ini dibesarkan dalam persekitaran berbahasa lisan yang digunakan oleh orang-orang di persekitaran mereka.


Masalah komunikasi dengan masayarakat normal menyebabkan orang pekak kehilangan hak untuk sama-sama merasai kenikmatan hidup di bumi yang merdeka, maju dan membangun ini. Banyak perkara yang tidak dapat dinikmati atau terpaksa dilupakan kerana tiada komunikasi antara mereka dengan dunia luar. Seterusnya, Dasar Integrasi Nasional ke arah interaksi dan komunikasi menyeluruh tidak kesampaian.
Seperti manusia biasa, orang pekak harus menjalani kehidupan sehari-hari. Dari aspek pendidikan, kerajaan telah menyediakan kemudahan seperti sekolah pendidikan khas, sekolah integrasi dan juga guru-guru yang mengajar bahasa isyarat kepada mereka. Kemudahan ini bertambah dari semasa ke semasa selaras dengan pertambahan golongan pekak di Malaysia.
Namun, masih terdapat masalah yang wujud. Pertama, sistem bahasa isyarat yang sangat rencam, yang digunakan sejak zaman dahulu tidak efektif untuk membawa golongan pekak sebaris dengan masyarakat yang normal. Ada kepincangan pada sistem itu yang perlu diperbaiki agar sistem komunikasi dua hala antara orang pekak dan mereka yang normal berjalan dengan telus.
Masalah yang kedua pula ialah hubungan kemasyarakatan dan hak bersama golongan pekak amat jauh dari masyarakat normal. Ini kerana, mereka hanya dapat berkomunikasi dengan orang yang tahu berbahasa isyarat. Masalah bertambah rumit apabila jumlah jurubahasa isyarat amat kurang, iaitu hanya 15 jurubahasa isyarat profesional yang berkhidmat sepenuh masa. Kedua-dua masalah ini seterusnya menyumbang kepada keampuhan jatidiri dan seterusnya menyebabkan golongan pekak mula membina dunia mereka sendiri yang terpisah daripada masyarakat normal.
Kesan daripada kedua-dua masalah itu, golongan pekak keciciran dalam aspek pendidikan. Selain itu, mereka gagal dalam mendapatkan hak seperti berurusan dengan sektor-sektor awam, mengakses maklumat terkini tentang dunia semasa, hak untuk

menyuarakan pendapat, hak untuk membuat pilihan dan juga hak untuk mendapatkan keperluan asas. http://psittacula.wordpress.com/2007/11/22/mereka-tidak-pekak/

1.2 Lima kaedah komunikasi yang boleh digunakan dalam kalangan orang
bermasalah pendengaran iaitu pekak.

1.2.1 Bacaan bibir

1.2.1.1 Konsep
Bacaan bibir merupakan kaedah komunikasi melalui memahami pertuturan dengan mengikut atau memerhatikan bibir penutur termasuk memahami atau mentafsir hingga ke otot muka dan gerak badan penutur. Antara organ pertuturan yang terlibat dalam bacaan bibir ialah paru-paru, tenggorok, larkins, peti suara, tekak, hidung, rahang dan mulut. Bacaan bibir adalah pertuturan tulin (pure oral) yang memberi tekanan kepada pengajaran dan pembelajaran bahasa melalui pertuturan secara ‘sengaja’. Pendekatan bacaan bibir memerlukan murid-murid pekak bertutur sepertimana murid-murid biasa. Raja Mariam Raja Mohd Iskandar (1999).
1.2.1.2 Kelebihan
a) Rasional penggunaan pendekatan bacaan bibir berasaskan kepada anggapan bahawa murid-murid pekak yang ada sisa pendengaran seharusnya digembeleng kebolehan pendengaran mereka semaksimum mungkin untuk menguasai bahasa pertuturan. Saadiah Ahmad (2009).
b) Anggapan kedua ialah murid-murid pekak merupakan kumpulan minoriti dalam masyarakat yang berkomunikasi melalui pertuturan, oleh itu penguasaan bahasa

lisan melalui bacaan bibir amatlah perlu untuk membolehkan mereka ‘selesa’ dalam masyarakat. Saadiah Ahmad (2009).
1.2.1.3 Kekurangan
a) Kelemahan bacaan bibir ialah apabila penumpuan tidak dapat diberikan pada kualiti bunyi petuturan itu sendiri seperti tinggi atau rendahnya bunyi petuturan. Bacaan bibir amat bergantung kepada deria pengelihatan di mana pencahayaan yang terang adalah amat diperlukan bagi memudahkan penumpuan ke arah wajah penutur. Menurut Tan Chin Guan (1999),
b) Dalam mempelajari mana-mana bahasa pertuturan, faktor kebolehan mendengar adalah penting (Paul & Quigley, 1994). Ketidakmampuan kita mendengar tidak membolehkan kita mengajuk atau meniru bunyi-bunyi sesuatu bahasa yang kita pelajari. Ramai di kalangan kita tidak dapat bertutur dalam bahasa yang tidak pernah kita dengar kerana tidak pernah mendengar bunyi-bunyi bahasa berkenaan. Inilah keadaan yang berlaku kepada murid-murid pekak dalam mempelajari bahasa lisan. Dapat dibayangkan betapa susah dan sukarnya murid-murid pekak diajar dan mempelajari bahasa lisan. Lagipun, mengajar bertutur bukan tugas utama persekolahan kanak-kanak pekak. Tugas mengajar bertutur terletak di atas bahu professional lain (contoh, audiologist dan jurupulih pertuturan).
1.2.1.4 Refleksi
Kaedah ini boleh berjaya sekiranya mereka yang mempunyai hubungan dengan pelajar meneruskan usaha-usaha mengajar kanak-kanak bertutur. Alat-alat bantu pendengaran dapat membantu kanak-kanak separa pekak menguasai bahasa yang baik. Sistem ini sesuai untuk kanak-kanak yang mengalami kemampuan pendengaran antara 40 hingga 65 desibel. Lazimnya, latihan melalui pendekatan bacaan bibir diberikan kepada murid-murid yang mempunyai sisa-sisa pendengaran. Bacaan Bibir menjadikan kanak-kanak

pekak mempunyai pencapaian akademik yang lemah, pertuturan yang tidak dapat difahami dan kemahiran-kemahiran komunikasi am yang lemah. Kanak-kanak pekak memerlukan sesuatu bentuk tambahan pandang untuk mengiringi pertuturan seperti yang disokong oleh mereka yang mengamalkan Komunikasi Seluruh.
1.2.2 Pertuturan Kiu

1.2.2.1 Konsep

Merupakan satu kaedah sistem pergerakan tangan yang boleh membezakan bunyi-bunyi apabila melihat pergerakan bibir contohnya bunyi /p/, /b/ dan /m/ iaitu bunyi fitur disingtif seperti bunyi vokal dan bunyi nasalisasi (sengau). Tangan digerak hampir dengan muka penutur yang bukan merupakan isyarat tetapi adalah cara untuk menidentifikasikan bunyi-bunyi fitur distingtif. Ianya mengandungi lapan konfigurasi dan empat kedudukan tangan digunakan sebagai tambahan informasi bibir untuk membuat suku kata nampak berbeza dari yang lain sama ada dibibir atau di tangan. Penutur menggunakan salah satu tangan mereka untuk membolehkan pembaca bibir mengecam dengan jelas setiap suku kata yang dituturkan. Ini bermakna petuturan kiu memungkinkan pembaca bibir membaca setiap perkataan dengan tepat. Abdullah Yusoff et. All (2006).

1.2.2.2 Kelebihan

a) Pada masa ini, Petuturan Kiu merupakan satu-satunya kaedah yang mana bahasa petuturan boleh dibaca pertuturannya oleh orang yang pekak dengan tahap ketepatan yang hampir sama dengan sebagaimana ia didengar oleh seorang yang berpendengaran normal. Menurut Tan Chin Guan (1999), kelebihan Pertuturan Kiu yang utama ialah perbendaharaan kata yang tidak terhad yang tidak memerlukan daya ingatan atas pihak penutur. Ini adalah kerana setiap perkataan

yang ditutur boleh sentiasa dikiu atas asas suku kata dilakukan tepat seperti ia disebutkan.

b) Kelebihan Pertuturan Kiu adalah kebolehgunaannya oleh kanak-kanak pekak untuk memperolehi bahasa lisan secara semulajadi dan pada kadar yang agak biasa dan membenarkan pertuturan pada kadar yang sesuai. Pertuturan Kiu memudahkan pemerolehan bahasa lisan oleh kanak-kanak pekak terutamanya perkembangan kemahiran-kemahiran khas yang berkaitan dengan bahasa lisan seperti penerimaan dan penghasilan pertuturan, membaca dan menulis. Melalui pemerolehan bahasa yang agak normal oleh kanak-kanak pekak akan membawa kepada kualiti kehidupan yang jauh lebih baik untuk mereka disebabkan oleh perkembangan emosi, sosial dan kognitif yang normal, perkembangan kemahiran-kemahiran pengenalan huruf yang lebih awal dan mudah, peluang-peluang yang bertambah dalam kemajuan pendidikan dan sebagai impak yang tidak terbatas dalam pilihan profesion atau tempat pekerjaan. Raja Mariam Raja Mohd Iskandar (1999).

1.2.2.3 Kekurangan

a) Namun penguasaan Pertuturan Kiu akan lebih dikuasai oleh mereka yang
mempunyai saki baki pendengaran yang baik. Kanak-kanak yang mempunyai
tahap kepekakan yang berat sukar menguasai Pertuturan Kiu. Kanak-kanak yang
bertutur mengunakan kiu biasanya tidak mempelajari bahasa isyarat. Keadaan ini
menyebabkan mereka bermasalah untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak
pekak yang lain. Persekutuan Orang Pekak Malaysia (2003).

b) Kanak-kanak pekak yang menggunakan pertuturan kiu hanya dapat berkomunikasi
dengan orang-orang yang mempelajari dan memahami petuturan

kiu sahaja. Petuturan kiu memerlukan pergerakan tangan untuk lapan kombinasi konsonan. Apabila Gerakan bibir tidak dapat dilakukan dengan jelas maka perkataan yang dilafazkan sukar difahami oleh orang lain. Persekutuan Orang Pekak Malaysia (2003).

1.2.2.4 Refleksi

Melalui pertuturan kiu kanak-kanak dapat mempelajari bahasa dengan baik. Murid-murid bermasalah pendengaran boleh menguasai Bahasa Melayu. Ejaan menggunakan suku kata dan enam kedudukan vokal membantu bunyi suku kata dengan jelas. Namun pertuturan kiu perlu mendapat kesinambungan mempelajari di sekolah dan mempraktikkanya di rumah bersama keluarga.

1.2.3 Komunikasi Seluruh
1.2.3 Konsep
Kaedah ini dikenali dengan total comunication. Digunakan dalam pendidikan kanak-kanak pekak, menggunakan keseluruhan bahasa iaitu gerakan isyarat, bahasa isyarat, mimik muka, petuturan, bacaan bibir, ejaan jari, membaca dan menulis. Komunikasi Seluruh hanya dapat di lakukan secara berhadapan. ‘Komunikasi seluruh’ merujuk kepada situasi yang mana guru menggunakan apa-apa sahaja untuk membolehkan murid-murid memahami bahasa. Mimik muka, lakonan, pertuturan dan sebagainya digunakan Abdullah (1997). Kaedah ini perlu digunakan seawal mungkin supaya kanak-kanak berupaya menguasai bahasa dan dapat berkomunikasi dalam masyarakat serta mampu mengelakkan perasaan terasing.
1.2.3.2 Kelebihan



a) Menurut Raja Mariam Raja Iskandar (1999). Kaedah komunikasi seluruh menggunakan kaedah isyarat, gerak isyarat mewakili sama ada perkataan yang

lengkap atau lebih tepat lagi, morfem yang merupakan bahagian-bahagian perkataan individu yang bermakna. Sebagai contoh perkataan “dimakan” mempunyai dua morfem, ‘makan’ (kata kerja) dan ‘di’ (penanda kata lampau). Oleh itu perkataan ‘dimakan’ diisyaratkan dngan mengguna isyarat untuk
‘makan’ diikuti dengan isyarat yang melambangkan ‘di-‘ untuk menunjukkan kata lampau.

b) Isyarat-isyarat dalam komunikasi seluruh adalah sebagai permulaan dan eksperimen ke arah menambah kegunaan tangan dalam sistem oralisme setelah. Berbeza dengan kod, bahasa isyarat lebih kepada memberi makna yang perlu difahami semasa berinteraksi di antara satu sama lain. Ianya tidak menunjukkan keperluan kegunaan imbuhan yang dicantumkan dengan kata dasar. Kementerian Pelajaran Malaysia. (1997)

1.2.3.3 Kekurangan

a) Menurut Saadiah Ahmad (2009). Bahasa Isyarat Komunikasi seluruh telah digunakan oleh kanak-kanak pekak di Sekolah Kanak-kanak Pekak Persekutuan Pulau Pinang sejak 1954. Komunikasi Seluruh menghadapi masalah apabila terdapat perkataan yang tidak mempunyai isyarat. Justeru daripada itu buku, “American Sign Language” digunakan. Namun, terdapat beberapa isyarat yang bertentangan dari segi agama dan budaya Malaysia tidak sesuai diguna pakai maka isyarat lain yang digunakan oleh kanak-kanak pekak pada ketika itu digunapakai.

b) Penggunaan Komunikasi Seluruh merupakan satu elemen penting dalam

pengajaran Bahasa Melayu iaitu penggunaan serentak pertuturan dan isyarat. Guru-guru dan kanak-kanak bermasalah pendengaran perlu menguasai kod yang ditetapkan untuk mewakili kata Bahasa Melayu. Guru-guru perlu menguasai

setiap kod bagi mewakili kosa kata Bahasa Melayu semasa pengajaran mengikut topik dan subjek yang diajar. Di samping itu guru juga perlu memahami prinsip-prinsip penggunaan kod bagi mengambarkan proses morforlogi yang berlaku dalam Bahasa Melayu. Umpamanya kod bagi kata dasar, kata majmuk, kata ganda dan kata berimbuhan ada tatacaranya tersendiri. Selain itu, kod-kod bagi setiap
jenis imbuhan iaitu depan, apitan dan belakang mesti dikuasai guru dan murid supaya tidak menimbulkan kekeliruan pada kanak-kanak bermasalah pendengaran. Abdullah Yusoff dan Che Rabiaah Mohamed (2004).

1.2.3.4 Refleksi

Melalui Komunikasi Seluruh setiap kali petuturan digunakan dengan kanak-kanak pekak ia mesti diiringi dengan suatu bentuk kaedah tambahan pandang (malah sentuhan juga) dengan serentak untuk membantu kanak-kanak iatu mengecam dan memahami setiap perkataan pertuturan dengan jelas untuk difahami semasa berinteraksi di antara satu sama lain. Komunikasi Seluruh juga menggambarkan kaedah penggunaan pelbagai deria.

1.2.4 Bahasa Isyarat Kod Tangan bahasa Melayu (KTBM)
1.2.4.1 Konsep
Menurut Abdullah Yusoff (1996) KTBM adalah bahasa isyarat yang menggunakan seluruh anggota termasuk mimik muka semasa berkomunikasi. Bahasa Isyarat dicipta untuk orang pekak. KTBM adalah menurut asas-asas dan tatabahasa serta prinsip-prinsip Bahasa melayu sebagaimana yang didengar, diperbualkan, ditulis, dibaca dan difahami . Penurunan KTBM ini ke dalam

bahasa tulisan sedikitpun tidak mengalami sebarang perbezaan dalam struktur dan semantik Bahasa Melayu. Kementerian Pendidikan Malaysia (1985).
1.2.4.2 Kelebihan
a) Menurut Saadiah Ahmad (2009), KTBM adalah satu bahagian daripada prinsip Komunikasi Seluruh (KS). Kombinasi bahasa isyarat, kod ejaan jari dan pertuturan digunakan. KTBM memberi penekanan kepada pembelajaran Bahasa Melayu, melalui kod dan bukan menukar kod kepada bahasa. KTBM adalah cara mempelajari Bahasa Malaysia dengan menggunakan kod-kod tertentu. KTBM membantu dalam tulisan dan pertuturan bagi membantu dalam menentukan orang pekak dapat menggunakan Bahasa Melayu dengan betul. KTBM sangat penting untuk memperkukuhkan pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
b) Saadiah Ahmad (2009) juga menyatakan mempelajari KTBM lebih menarik dan pergerakan tangan lebih senang. Kegunaan kod lebih mudah daripada melatih murid-murid bertutur. Petuturan memerlukan pengetahuan yang mendalam tentang bunyi dan bagaimana sesuatu perkataan disebut untuk mengeluarkan suara, sedangkan orang pekak sendiri tidak berupaya mendengar suara mereka.
1.2.4.3 Kekurangan
a) KTBM ini bukan sesuatu bahasa umum tetapi merupakan salah satu cara komunikasi dalam tatabahasa Bahasa Melayu yang baku. Dengan kata lain, KTBM digunakan apabila berlakunya terjemah daripada lisan (suara) kepada visual (tangan) dalam tatabahasa Bahasa Melayu. Persekutuan Orang Pekak Malaysia (2003).
b) KTBM melambatkan lagi komunikasi antara dua Orang Pekak. KTBM tidak dapat memberi gambaran dan maksud kepada Orang Pekak, Apabila KTBM

digunakan, kebanyakan Orang Pekak mengalami kekeliruan apabila berkomunikasi dalam KTBM. KTBM terlampau lambat digunakan untuk terjemahan. Persekutuan Orang Pekak Malaysia (2003).
1.2.4.4 Refleksi
KTBM dapat membantu kanak-kanak pekak membentuk ayat yang betul, menggunakan kod-kod yang sama bagi perkataan yang sama. Melalui KTBM akan dapat menggalakkan kanak-kanak menulis perkataan-perkataan setelah kod untuk semua jenis kata dipelajari, Melalui KTBM matapelajaran Bahasa Melayu kanak-kanak pekak lebih mudah untuk dipelajari dan difahami.
1.2.4 Bahasa Isyarat Malaysia (BIM)

1.2.5.1 Konsep
BIM ialah bahasa yang tulen bagi Orang Pekak Malaysia. BIM juga merupakan bahasa ibunda dan bahasa istimewa bagi Orang Pekak Malaysia. BIM digunakan dan diterima pakai oleh Orang Pekak Malaysia secara meluas. Bahasa yang dibukukan oleh Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) pada tahun 2000 mengandungi 1000 isyarat-isyarat yang digunakan oleh orang pekak untuk tujuan komunikasi dan penterjemahan. Persekutuan Orang Pekak Malaysia (2003).
1.2.5.2 Kelebihan
a) Pada tahun 2003 isyarat-isyarat untuk kegunaan informasi teknologi maklumat telah dibukukan oleh MFD untuk membolehkan kanak-kanak pekak berinteraksi dengan ahli-ahli lain dalam keluarga. Persekutuan Orang Pekak Malaysia (2003) menyatakan BIM merangkumi komunikasi, pendidikan, sosial, sukan, budaya, agama, ekonomi dan politik.

b) Dengan menggunakan BIM, orang Pekak mampu berbincang pelbagai isu-isu yang timbul, bergurau-senda, memudahkan komunikasi antara dua orang pekak serta memberi kesan pemahaman yang baik kepada antara satu yang lain. Selain itu, BIM ini juga mempunyai peraturan untuk digunakan tidak menyerupai Bahasa Inggeris dan terdapat tatabahasa tersendiri. BIM ini diwujudkan secara tidak langsung dan bukan dicipta oleh seorang sahaja.
http://www.geocities.com/bimalaysia/
1.2.5.3 Kekurangan
a) Selain daripada isyarat yang memberi makna terus, BIM ini terpaksa menggunakan pergerakan badan, kepala, mata selain daripada ejaan jari. Contohnya ‘Munira rajin’ adalah dua perkataan yang boleh bermakna, ‘Munira tidak rajin’.Jika perkataan ‘Munira’ dieja menggunakan ejaan jari kemudian geleng kepala atau menggerakan tangan untuk menunjukkan makna, ‘tidak’ dan dikuti dengan isyarat ‘rajin’. Jika perkataan ‘Munira’ dieja kemudian ‘rajin’ diisyaratkan untuk bermakna rajin, ianya bererti ‘Munira rajin’. Keadaan tersebut menunjukkan struktur ayat dan makna yang tidak lengkap. Saadiah Ahmad (2009)
b) BIM tidak mempunyai tatabahasa yang lengkap seperti KTBM iaitu imbuhan awalan dan imbuhan akhiran. Tatabahasa antara BIM dengan KTBM adalah berbeza. Perbezaan tatabahasa ini merupakan gejala utama yang memperlihatakan bahawa bahasa tulisan murid-murid pekak sukar difahami, yang berakibat daripada terdapatnya pengaruh BIM ke dalam penulisan Bahasa Melayu yang dihasilkan oleh murid-murid pekak. Saadiah Ahmad (2009
1.2.5.4 Refleksi
BIM memberi makna terus sama ada secara ekspresif atau reseptif. BIM adalah bahasa orang pekak. BIM digunakan sebagai bahasa pengantara Persekutuan Orang Pekak. Ia

mempunyai struktur ayat tersendiri dan tidak menyerupai mana-mana bahasa. Bahasa isyarat yang berbentuk visual mengutamakan perkara-perkara yang dilihat dahulu sebagai permulaan kepada sesuatu ayat seperti bahasa isyarat Amerika (ASL). BIM menggunakan konsep abjad sebelah tangan. BIM memudahkan komunikasi sesama orang pekak namun BIM tidak sesuai untuk bahasa penulisan orang pekak berbanding komunikasi seluruh dan KTBM.
2. Rumusan
Kanak-kanak bermasalah pendengaran mempunyai masa hadapan yang cerah sekiranya mereka diberi pendedahan yang awal. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang mengalami masalah pendengaran perlu segera membawa anak mereka kepada pakar audiologist untuk mengesahkanya dan memberi rawatan yang sepatutnya. Kanak-kanak perlu dimasukkan ke program pendidikan khas bermasalah pendengaran untuk intervensi awal. Di sekolah adalah masa yang sesuai bagi menyampaikan ilmu kepada orang Pekak sebab minda kanak-kanak tersebut adalah masih lembut dan menerima input yang berharga. Kunci untuk menyampaikan ilmu kepada kanak-kanak Pekak ialah kemahiran komunikasi, kerana ilmu di sampaikan kepada kanak-kanak melalui komunikasi. Di antara guru dan murid, murid dan rakan-rakan. Mereka tidak boleh dibiarkan keseorangan tanpa sesiapa di sekeliling memahaminya. Walaupun terdapat pelbagai cara berkomunikasi di kalangan orang pekak yang pastinya mereka saling memahami interaksi sesama mereka. Kelebihan kepada mereka yang mempunyai inisiatif mempelajari pelbagai komunikasi orang pekak. Namun kerjasama, sokongan, bimbingan dan galakan di antara ibu bapa, keluarga, guru-guru dan masyarakat sekeliling anak-anak pekak amat penting untuk membentuk komunikasi yang baik dan bermakna.

BIBLIOGRAFI
Abdullah Yusoff. (1996) Pemaparan Idea Dalam Karangan: Kajian Kes Terhadap Karangan Pelajar Pekak (An Expression Of Idea In A Composition : A Case Study On A Deaf Student). Jurnal Dewan Bahasa, 40: 4, 321-336.
Abdullay Yusoff. (1997) Pembentukan Bahasa Isyarat Di Kalangan Pelajar Pekak (The Formation Of Sign Language Among Deaf Pupils). Kuala Lumpur : Fakulty Of Linguistic University Malaya. (Unpblished M.A Tesis)
Abdullah Yusof, Safni Bari & Mohd Mokhtar Tahar (2007). Pengenalan Pendidikan Khas : Open University Malaysia Kuala Lumpur.
Julia Jantan & Siti Suhaila Samian (2007). Perkembangan Dan Ciri-ciri Kanak-kanak
Berkeperluan Khas : Open University Malaysia Kuala Lumpur.

Kementerian Pendidikan Malaysia (1985). Komunikasi Seluruh Bahasa Melayu Kod
Tangan. Jilid 1, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Kementerian Pendidikan Malaysia (1997). Bultein Pendidikan Khas: Jabatan Pendidikan
Khas.

Owen (1990). Language Disorders : A Functional Approach to Assessment and
Intervention. Boston :Allyn &Bacon
Paul, P. & Quigley, S (1994) Language And Deafness San Diego: Singular Publishing Group.
Persekutuan Orang Pekak Malaysia (2003). Bahasa Isyarat Malaysia : Persekutuan
Orang Pekak Malaysia Kuala Lumpur.

Raja Mariam Raja Mohd Iskandar (1999). Bertutur Dengan Kanank-kanak Pekak :
Persatuan Kebangsaan Pekak Malaysia Kuala Lumpur.

Saadiah Ahmad (2009). Pengenalan Kepada Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM): Open
Universiti Malaysia Kuala Lumpur.
Tan Chin Guan (1999). Bertutur Dengan Kanank-kanak Pekak : Persatuan Kebangsaan
Pekak Malaysia Kuala Lumpur.


SUMBER INTERNET
Abdullah Yusoff dan Che Rabiaah Mohamed (2004). (t.t) Penguasaan Bahasa Melayu
dalam Kalangan Murid Pekak: Suatu Sorotan dari Perspektif Linguistik Jurnal
Dewan Bahasa Dicapai pada 28 Jun 2009 dari http://www.angelfire.com/journal2/abdullahyusoff/penguasaan_bhs.html

Bicara Rasa Sang Bayan (2007). (t.t)Mereka Tidak Pekak. Dicapai pada 28 Jun 2009 dari
http://psittacula.wordpress.com/2007/11/22/mereka-tidak-pekak/
Persekutuan Orang Pekak Malaysia (2007). (t.t) Bahasa isyarat . Dicapai pada 28 Jun 2009 dari http://www.geocities.com/bimalaysia/.

0 ulasan: