Sabtu, 22 Ogos 2009

AKTIVITI PERKHEMAHAN ORANG KURANG UPAYA (OKU)

1.0 PENGENALAN

Rekreasi ialah aktiviti terancang yang dapat menyegarkan kembali kesihatan tubuh badan dan menenangkan fikiran untuk memenuhi masa lapang. Borhanudin Abdullah et. al (2006). Salah satu kegiatan rekreasi yang sering dijalankan ialah perkhemahan. Rekreasi bagi individu berkeperluan khas dapat mendedahkan diri dengan pengalaman baru dan menyeronokkan. Individu berkeperluan khas mengikut Abdullah Yusof et al. (2006) terdiri daripada lapan kategori iaitu kurang upaya fizikal dan kesihatan, kurang upaya pembelajaran, gangguan emosi dan tingkahlaku, pintar cerdas, kurang upaya mental, kurang upaya petuturan atau bahasa, kurang upaya penglihatan dan kurang upaya pendengaran.

Rekreasi luar seperti perkhemahan pada asasnya boleh didefinisikan sebagai penggunaan sumber-sumber luar daripada bilik darjah untuk mencapai matlamat dan objektif pendidikan, Richard G. Kraus (1995). Ianya adalah merupakan suatu aktiviti yang menarik yang mana ia boleh dijalankan dengan pelbagai aktiviti seperti, aktiviti sosial dan aktiviti ibadah selain untuk pendidikan. Dalam dunia pendidikan ia disifatkan sebagai merentas kurikulum.Selain itu Reakreasi luar juga merupakan salah satu media yang membekalkan pembelajaran melalui pengalaman. Perkara ini turut diakui oleh Julie Gibson et. al (2000) yang menyatakan bahawa pendidikan luar termasuklah semua jenis pengalaman yang meningkatkan pengetahuan, tingkah laku atau kemahiran luaran dan membantu membuatkan kita lebih menghargai. Selain itu aktiviti rekreasi juga menghasilkan pengalaman yang membolehkan interaksi dan mengetahui persekitaran alam semulajadi.

Individu berkeperluan khas akan dapat mengenali sesama mereka dengan lebih akrab. Semasa menjalankan aktiviti perkhemahan secara tidak langsung individu berkeperluan khas akan diuji dengan beberapa sifat seperti sabar, berdikari, tidak mementingkan diri, berinisiatif, cergas, dan bergerak pantas. Berkhemah dapat menjalinkan semangat bergotong-royong, bantu-membantu, hormat-menghormati dan saling menganali.
1.1 Aktiviti di tapak perkhemahan individu berkeperluan khas.

1.1.1 Aktiviti awal

Persiapan dan perancangan awal bagi sesuatu aktiviti sangat penting. Ia bertujuan agar setiap aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan licin dan memberi manfaat kepada murid-murid dan guru-guru. Persiapan awal bergantung kepada bilangan penyertaan, jenis aktiviti, tempoh dan jarak tempat aktiviti. Perancangan dan persiapan awal antaranya, pemilihan tempat, siaran aktiviti dan memperolehi kebenaran ibu bapa atau penjaga murid, surat menyurat, pemeriksaan doktor, kebenaran pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan perhilitan, insuran, borang rasmi, kewangan, bantuan, atur cara dan taklimat terakhir.

Aturcara program rekreasi perkhemahan perlu dimaklumkan secara ringkas dan hendaklah selari dengan matlamat dan tujuan aktiviti. Program tersebut perlu dirancang dengan teliti supaya seimbang dari segi masa rehat, beribadat dan menjalankan aktiviti. Aturcara tersebut perlu dimaklumkan secara ringkas kepada peserta sebagai persediaan mental bagi mengikuti aktiviti yang dijalankan. Beberapa pertimbangan perlu difikirkan semasa menyusun aktiviti seperti berikut, waktu bersembayang atau beribadat, aktiviti disusun sesuai mengikut masa, aktiviti ringan dan permainan kecil di selang selikan di antara aktiviti menggunakan tenaga yang banyak, aktiviti sesuai dengan tempat, kemudahan asas, berbukit dan sungai. Peralatan disediakan dan disenaraikan sebelum bertolak. Di dalam perkhemahan keselamatan amat dititikberatkan.

1.1.2 Aktiviti pembukaan perkhemahan.

Pengelola ahli jawatankuasa perlu membuat persediaan yang lengkap untuk individu berkeperluan khas bagi aktiviti perkhemahan. Setibanya dilokasi perkhemahan individu berkeperluan khas perlu merasai suasana perkhemahan, contohnya guru-guru telah mendirikan khemah besar, murid-murid akan diberi taklimat di tempat tersebut mengenai aktiviti yang akan dijalankan.

2.0 Aktiviti rekreasi perkhemahan

2.1 Aktiviti senaman.

2.1.1 Konsep
Aktiviti rekreasi dimulakan dengan aktiviti senaman pagi merupakan satu aktiviti fizikal yang dirancang, pergerakan struktur badan bertujuan untuk meningkatkan kecergasan fizikal. Borhan Yusof et.al (2008). Kementerian Kesihatan Malaysia, (2003) menyatakan kecergasan bermaksud berada dalam keadaan cergas dari segi fizikal dan mental, berkeupayaan melaksanakan tugas harian tanpa merasa letih atau kelesuan dan dapat melibatkan diri dalam aktiviti riadah, di samping masih memiliki tenaga untuk menghadapi saat-saat yang tidak terduga dan kecemasan.

2.1.2 Rasional pemilihan aktiviti
Aktiviti senaman mempunyai kepentingan dan faedah yang tidak terbatas. Ia banyak menyumbang dari segi kesihatan diri dan mental terutama bagi individu berkeperluan khas. Terdapat individu berkeperluan khas yang mempunyai penyakit obesiti dan penyakit masalah kardiovaskular terutamanya kanak-kanak down sindrom. Melalui senaman dapat mengurangkan risiko penyakit tersebut. Dari segi mental pula senaman dapat meningkatkan kesejahteraan dan keyakinan diri individu berkeperluan khas.

2.1.3 Rasional pemilihan lokasi/kemudahan, keselamatan dan kesesuaian
Lokasi senaman amatlah sesuai di tepi pantai yang mempunyai udara yang segar dengan bunyi hempasan ombak di pantai. Pancaran matahari pagi amat mengindahkan pemandangan. Senaman menggunakan iringan muzik. Menurut Borhan Yusof et. Al (2008). Bersenam adalah salah satu aktivti fizikal yang menggunakan banyak tenaga dan pergerakan. Untuk bersenam banyak perkara yang harus difikirkan terutamanya aspek keselamatan. Keselamatan amat penting untuk menghindari dari sebarang bentuk kecelakaan yang tidak diingini. Perkara yang harus dititikberatkan semasa bersenam ialah penyediaan badan dan aktiviti yang dijalankan iaitu aktiviti dari lambat ke cepat dan lambat kembali.
Sewaktu senaman dijalankan penggunaan peralatan perlu mengikut piawaaian yang telah ditetapkan. Jangan guna peralatan yang sudah rosak, patah dan berkarat. Bersenam di tempat yang selamat. Jangan melakukan aktiviti di tempat yang boleh membawa bahaya. Ini boleh mengelakkan berdepan dengan perkara yang tidak diingini. Pastikan individu berkeperluan khas berada dalam keadaan sihat. Elakkan bersenam jika tidak sihat, sakit kaki, sendi, dada atau kepala. Keadaan ini akan bertambah teruk jika meneruskan aktiviti bersenam. Berhenti segera jika merasa semput atau sakit dada ketika bersenam. Bersenam di tempat cuaca yang baik, tidak sangat panas, terlalu gelap atau kadar pencemaran udara tinggi (berjerebu). Pakai pakaian yang selesa, tidak ketat dan sesuai mengikut keadaan cuaca. Elakkan pakaian bergetah, jaket atau baju kalis air.

2.1.4 Cara pelaksanaan aktiviti.
Aktiviti senaman dijalankan dalam masa 30 minit, beberapa orang guru ditugaskan untuk membimbing murid-murid semasa senaman. Aktiviti dimulakan dengan penyediaan badan iaitu bersenam dengan tiga peringkat, peringkat pertama memanaskan badan dengan regangan (warming up), peringkat kedua aktiviti senaman dan peringkat ketiga menyejukkan badan (cooling down). http://fireroll.blogspot.com Aktiviti senaman kedua adalah berbentuk permainan iaitu membuat cermin diri secara berpasangan sesama jantina, seorang murid menjadi cermin dan seorang murid akan mengayakan diri melihat dicermin. Aktiviti ini akan melibatkan pergerakan dan ikatan persahabatan bersama rakan. Aktiviti diteruskan dengan pergerakkan kreatif, bunga sedang berkembang, angin bertiup lembut seterusnya angin bertiup kencang, pergerakan haiwan dan tarian mengikut kaum india, melayu dan cina.

2.1.5 Refleksi.
Aktiviti senaman yang dijalankan merupakan persediaan murid untuk menjalankan aktiviti yang seterusnya pada hari perkhemahan untuk memulakan aktiviti dengan aktif dan menyeronokkan. Senaman merupakan salah satu komponen gaya hidup sehat yang sangat penting. Ia merupakan sejenis aktiviti riadah yang boleh dilakukan oleh semua individu tanpa mengira umur dan jantina. Banyak faedah yang di perolehi daripada aktiviti bersenam. Senaman didapati berkesan untuk memperbaiki dan meningkatkan taraf kesihatan. Senaman membantu seseorang itu hidup dengan lebih cergas dari aspek fizikal dan metal. Pada masa yang sama mereka dapat melaksanakan kerja- kerja harian dengan lebih bertenaga, penuh minat tanpa cepat merasa letih dan lesu. Mereka yang aktif bersenam mampu melibatkan diri sepenuhnya dalam pelbagai jenis aktiviti yang berkualiti.

2.2 Membina istana pasir.

2.2.1 Konsep
Membina istana pasir merupakan aktiviti yang dijalankan ditepi pantai. Murid-murid akan diberikan peralatan berbentuk tiga dimensi seperti bentuk kun, slinder dan skop. Mereka akan menyusun pasir-pasir yang telah dibentuk dan dipadatkan menjadi seperti istana. Aktiviti dijalankan secara berkumpulan dan dipertandingkan kerana aktiviti yang berbentuk pertandingan yang membina boleh mempengaruhi dan menggerakan ahli agar bersikap positif dan berminat untuk mencapai hasrat yang sama. Zuraidah Abdul Rahman (1996).

2.2.1 Rasional pemilihan aktiviti.
Sesuai dengan naluri kanak-kanak untuk bermain. Mereka diberi peluang untuk bermain dengan pasir dengan konsep membina istana. Membina istana pasir dijalankan adalah untuk mencungkil bakat dan kemahiran murid. Kemahiran motor halus dapat diterapkan kepada murid-murid berkeperluan khas dengan bimbingan guru. Kemahiran motor halus menggunalan otot-otot kecil seperti jari tangan dan ketangkasan lidah dan otot pertuturan. Walaupun kanak-kanak dapat menggunakan jari tangan mereka, tetapi ia akan mengambil masa yang lama untuk menguasai kemahiran tersebut. Kemahiran menggunakan jari dipengaruhi oleh faktor biologi di mana kanak-kanak yang mengalami masalah otak seringkali tidak dapat menggunakan jari-jari mereka. Kanak-kanak ini lebih cenderung menggunakan tangan.

2.2.2 Rasional pemilihan lokasi/kemudahan, keselamatan dan kesesuaian.
Aktiviti yang dijalankan adalah sesuai dengan lokasi perkhemahan di persisiran pantai. Dua orang guru sebagai pembimbing dan mengawasi keselamatan murid. Aktiviti ini juga melatih murid mematuhi disiplin dan arahan ketua. http://www.angelfire .com/mn/ amalik/senaman.html. Kawasan aktiviti di pagar tape merah putih keselamatan. Semasa aktiviti dijalankan murid-murid tidak dibenarkan keluar dari kawasan. Pasir di pantai tersebut adalah bersih dan putih sesuai dengan aktiviti murid. Murid-murid diingatkan agar tidak membaling pasir ke arah rakan. Markah akan terjejas, jika mereka tidak mengikuti peraturan. Aktiviti dijalankan pada waktu pagi kerana cuaca belum begitu panas supaya murid-murid merasa seronok dan selesa.

2.2.3 Cara pelaksanaan aktiviti.
Aktiviti dijalankan secara berkumpulan. Setiap kumpulan dianggotai seramai 5 orang. Murid-murid akan membuat istana pasir mengikut petak dan tapak yang disediakan iaitu kawasan lebih kurang 50 m dari hempasan ombak. Peralatan akan disediakan untuk membentuk istana pasir. Dua orang guru akan membantu murid-murid. Kerjasama, kreativiti, kekuatan dan kekukuhan iastana pasir akan diambil kira sebagai pemenang.

2.2.4 Refleksi
Aktiviti membuat istana pasir merupakan satu konsep membentuk dan membuat binaan. Aktiviti ini dapat memperkembangkan persepsi murid terhadap aspek seni visual dari segi bentuk, ruang, struktur, imbangan dan kestabilan. Melalui aktiviti membentuk dan membuat binaan istana pasir murid membuat rujukan kepada objek sebenar dan perbandingan ini akan memberi kesedaran bahawa idea dan kreativiti mempunyai fungsi dan makna. Ianya juga mendedahkan murid dengan penggunaan pelbagai bahan, alat dan teknik penghasilan supaya mereka berpeluang untuk berinteraksi secara kreatif bersama alat dan bahan.

2.3 Aktiviti Suai Mesra – Permainan, ‘Inilah Saya’

2.3.1 Konsep
Aktiviti permainan inilah saya, membolehkan ahli kelompok memerhatikan rakan-rakan dan mengenal pasti, sifat diri mereka. Aktiviti melalui nyanyian dan genderang. Aktiviti ini juga akan menjadikan sesi kelompok seronok dan gembira. Guru akan memberitahu murid-murid berkeperluan khas bahawa mereka mempunyai peluang untuk mengetahui sifat rakan-rakan dengan memerhati mereka sambil melakukan aktiviti ini. Mereka perlu memberi tumpuan kepada rakan-rakan disekeliling. Aktiviti ini memberi pendedahan kepada murid dalam perkembangan fizikal, psikomotor, emosi dan kognitif. Zuraidah Abdul Rahman (2005).

2.3.2 Rasional pemilihan aktiviti.
Aktiviti suai mesra dijalankan di dalam dewan untuk merehatkan diri murid-murid berkeperluan khas. Aktiviti dijalankan dengan permainan, ‘inilah saya’ dengan diiringi genderang. Bermain merupakan nadi kepada perkembangan fizikal dan psikologi kanak-kanak. Melalui bermain murid-murid berkeperluan khas dapat mengekspresikan apa yang mereka inginkan. Susanna Clave Phillips (2008). Bermain sebagai suatu situasi di mana ego dapat berinteraksi dengan pengalaman bagi menciptakan situasi model dan juga dapat menguasai realiti melalui percubaan dan perbualan.

2.3.2 Rasional pemilihan lokasi/kemudahan, keselamatan dan kesesuaian.
Permainan ini diadakan pada waktu malam pertama aktiviti perkhemahan. Di adakan di dalam dewan serbaguna. Keadaan di dalam tempat yang selamat dan lampu yang terang di mana peserta perkhemahan dapat melihat dan mengenali rakan-rakan. Masa aktiviti adalah satu jam. Peralatan genderang disediakan.

2.3.3 Cara pelaksanaan aktiviti.
Aktiviti dijalankan dengan semua ahli berdiri dalam bulatan. Setiap ahli diminta menyebut satu kenyataan di bawah sambil melakukannya dah ahli lain akan mengikutinya. Minta seorang ahli lain secara sukarela mencubanya dahulu. Apabila seorang ahli telah faham aktiviti akan dimulakan. Contohnya, “Siapa yang gembira hari ini tepuk tangan!”. Ahli yang pertama menepuk tangan tiga kali dengan diikuti oleh semua rakan dalam kelompok. Ini disambut dengan ahli kedua dengan segera. Misalnya “Siapa yang sedih hari ini hentak kaki”, semua rakan dalam kelompok menghentak kaki tiga kali. Selepas itu disambut pula oleh ahli ketiga dan seterusnya. Aktiviti dikuti dengan genderang. Contoh aktiviti lain yang dilakukan:
a) Jika anda ada abang, kelip mata dua kali.
b) Jika anda ada kakak , kenyit mata dua kali,
c) Jika anda ada adik , hentak kaki kanan dua kali,
d) Jika anda ada kucing, goncang tangan kanan.
e) Jika anda suka peluk kucing , goncang tangan kiri.
f) Jika anda suka warna hijau, lambaikan tangan kanan.
g) Jika anda suka menonton televisyen, lompat dua kali.
h) Jika anda suka tengok cerita hantu, cekak pinggang, goyangkan punggung.
i) Jika anda pandai menyanyi sebut “Ah....!Ah......! Ah......!” tiga kali.
j) Jika anda pandai menari sebut”Oi.....!Oi......!Oi.....!” tiga kali.
k) Jika anda geram sebut “wah.....!wah.....!wah.....!’ tiga kali.
2.3.4 Refleksi
Aktiviti dijalankan untuk melihat respon dan tingkahlaku rakan. Setiap ahli akan menyebutkan satu persatu perbuatan sehingga selesai mengikut giliran masing-masing. Ini perlu dilakukan dengan sepat tanpa melakonkannya. Perbincangan tertumpu kepada aspek kreativiti mereka, perasaan mereka apabila giliran tiba, persediaan mereka untuk menanti giliran dan reaksi mereka terhadap aktiviti ini.

2.4 Kembara Alam

2.4.1 Konsep
Aktiviti kembara alam merupakan aktiviti bertemakan alam sekitar. Aktiviti yang dijalankan ialah melihat nelayan menaikan ikan dari bot dan sampan dipersisiran pantai, melihat ikan dan udang diproses menjadi keropok dan belacan serta melihat pusat sarang burung layang-layang. Murid-murid diberi pendedahan memegang ikan yang telah ditangkap untuk dimasukkan ke dalam tong ikan.

2.4.2 Rasional pemilhan aktiviti.
Aktiviti dijalankan bertemakan alam sekitar, murid-murid berkeperluan khas dapat menikmati keindahan alam sekitar secara semulajadi. Murid-murid dapat melihat hasil alam menjadi sumber kehidupan dan pendapatan. Di sini murid-murid dapat disemaikan sikap mencintai alam sekitar. Jika alam sekitar tercemar maka sumber alam akan terjejas. Murid-murid berkeperluan khas juga melihat usaha seseorang untuk mendapatkan sumber pendapatan bagi menampung kehidupan. Mereka didedahkan dengan sikap kerjasama, saling menghormati, persefahaman toleransi dan tidak ada jalan mudah untuk mendapatkan sesuatu. Salhah Abdullah (2006)

2.4.3 Rasional pemilihan lokasi/kemudahan, keselamatan dan kesesuaian.
Lokasi aktiviti berhampiran dengan tapak perkhemahan. Bot nelayan laut dalam menurunkan ikan pada waktu pagi dan petang. Lokasi penangkapan, pemprosesan membuat keropok dan belacan dari ikan dan udang. Begitu juga dengan pusat membuat sarang burung layang-layang secara komersil. Keselamatan murid-murid terjamin kerana aktiviti adalah di kawasan orang ramai setiap kumpulan di kawal dan dibimbing oleh dua orang guru.

2.4.4 Cara pelaksanaan aktiviti.
Aktiviti dijalankan mengikut kumpulan seramai enam orang dan akan dibimbing oleh dua orang guru setiap kumpulan. Murid-murid akan berjalan sejauh 50 km ke pusat menaikkan ikan yang ditangkap di laut dalam. Terdapat juga nelayan menangkap ikan di persisiran pantai menggunakan jala dengan menaiki sampan. Ikan yang ditangkap akan di longgokkan di tempat khas dan akan dimasukkan ke dalam tong ikan untuk dibeli oleh pemborong. Murid-murid berkeperluan khas diberi peluang memegang ikan dan dimasukkan ke dalam tong. Terdapat ikan-ikan yang masih hidup. Keadaan ini akan menyeronokkan murid-murid keperluan khas. Setelah selesai murid-murid diminta membersihkan tangan dan beratur untuk diberi wang sebagai imbuhan berkerja memasukkan ikan ke dalam tong. Murid-murid di beri wang RM 25 seorang. Seterusnya murid-murid di bawa melihat ikan-ikan dan udang diproses menjadi keropok dan belacan. Murid-murid diberi penerangan untuk pemerosesan tersebut. Selesai melihat pemerosesan murid-murid diminta berbelanja membeli keropok dan belacan sebagai buah tangan kepada keluarga mereka. Aktiviti disambung dengan melihat pemerosesan sarang burung layang-layang secara komersil. Murid-murid menjalankan pertandingan meniru bunyi burung layang-layang.

2.4.5 Refleksi
Akitiviti kembara alam ini amat sesuai dengan murid-murid berkeperluan khas untuk merasai sendiri suasana di persisiran pantai. Memegang ikan hidup. Melihat burung layang-layang dan mendengar bunyi kicauan burung. Aktiviti di jalankan secara berkumpulan. Murid-murid diberi peluang berbelanja sendiri. Murid-murid diberi peluang menikmati pengalaman bersama alam sekitar yang berbeza dengan kehidupan seharian mereka.

2.5 Persembahan kebudayaan.

2.5.1 Konsep
Persembahan kebudayaan terdiri dari nyanyian, tarian dan lakonan yang diiringi dengan muzik latar. Aktiviti tersebut mempunyai impak positif terhadap pelbagai perkembangan domain kanak-kanak berkeperluan khas. Kanak-kanak berkeperluan khas secara tidak lansung dapat mempelajari konsep imbangan, koordinasi dan ruang disamping merupakan satu cara paling berkesan untuk perkembangan hemah diri dan kesedaran tubuh mereka. Di samping itu aktiviti muzik yang digunakan dapat membantu perkembangan kreativiti di kalangan murid-murid berkeperluan khas. Mansor Fadzil (2007). Tujuan mengadakan malam kebudayaan ialah untuk bersukaria menghilangkan rasa penat setelah sehari suntuk menjalankan berbagai aktiviti.

2.5.2 Rasional pemilhan aktiviti
Persembahan kebudayaan memberikan peluang murid-murid berkeperluan khas melalui pengalaman kreatif dalam suasana yang riang tanpa tekanan. Melalui aktiviti, nyanyian, lakonan dan tarian adalah satu cara menyeronokan untuk murid-murid berkeperluan khas meneroka melalui muzik, mengembangkan kemahiran fizikal, menyalurkan tenaga, meransang imaginasi dan menggalakan kreativiti. Elemen keseronokan yang dibawanya secara sendirinya mengukuhkan permainan sebagai aktiviti pembelajaran yang berkesan untuk kanak-kanak. Di samping itu kanak-kanak merasa seronok apabila bahasa permainan dikaitkan dengan gerakan irama tubuh. Justeru daripada itu, aktiviti persembahan kebudayaan dapat meningkatkan daya otak dan mempengaruhi tingkah laku.
http://www.motivasidiri.com/info.html

2.5.3 Rasional pemilihan lokasi/kemudahan, keselamatan dan kesesuaian.
Aktiviti kebudayaan dijalankan di dalam dewan serbaguna. Peralatan dan tempat yang disediakan adalah lengkap dan sesuai iaitu pentas, bilik persalinan, tandas dan tempat menyimpan peralatan persembahan. Penonton dan para peserta yang menunggu giliran duduk di dalam dewan yang terang. Peralatan audio disediakan untuk aktiviti persembahan. Ruang yang selesa dan berhawa dingin membolehkan murid-murid berkeperluan khas membuat persembahan dan menonton dengan selesa dan menyeronokkan.

2.5.4 Cara pelaksanaan aktiviti.
Aktiviti dijalankan dengan latihan daripada guru-guru pada sebelah petang mengikut kumpulan, Setiap kumpulan diundi untuk menentukan giliran persembahan. Setiap kumpulan terdiri daripada 6 orang. Pemarkahan di ambil kira untuk persembahan, intonasi, kreativiti, muzik dan pakaian. Tema persembahan adalah bebas tetapi tidak menyentuh isu-isu sensitif. Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan ialah lakonan yang mudah difahami dan memberi pengajaran. Nyanyian termasuklah nyanyian solo dan nyanyian beramai-ramai. Senikatanya tidak seharusnya mengandungi unsur-unsur yang merosakkan moral dan akhlak. Lawak jenaka yang mengandungi unsur-unsur lucu tetapi tidak menggunakan perkataan sensitif dan kurang sopan.

2.5.5 Refleksi
Aktiviti kebudayaan dapat menyemai bakat dan minat murid-murid berkeperluan khas dengan cara yang menyeronokkan. Aktiviti ini dapat menggalakan interaksi antara individu seterusnya membantu proses perkembangan aspek sosialisasi di kalangan murid-murid berkeperluan khas. Aktiviti secara kumpulan dapat meningkatkan sikap kerjasama di antara mereka. Murid-murid juga akan dapat menunjukkan ekspresi wajah dalam aktiviti persembahan mereka seperti perasaan sedih, gembira dan marah. Aktiviti ini dapat mencungkil bakat dalam semua lapangan kesenian. Ianya juga dapat melatih murid-murid berkeperluan khas supaya tidak malu dan yakin pada diri sendiri apabila berdepan dengan orang ramai.

3.1 Hasil temubual dengan pengarah tempat perkhemahan berkenaan langkah-langkah untuk memastikan keselamatan OKU di jamin semasa sesi perkhemahan.

Temu bual dijalankan bersama pengarah Mutiara Motors Resorts Kuala Sedili, Kota Tinggi, En. Hamdan B. Ahmad. Tapak perkhemahan tersebut adalah selamat dan sesuai untuk golongan OKU kerana dalam masa terdekat tiga kumpulan perkhemahan adalah terdiri daripada golongan OKU iaitu Sekolah Pendidikan Khas Batu Pahat. Pusat Dalam Komuniti (PDK) Paloh Kluang dan Unit Pendidikan Khas Daerah Pasir Gudang. En. Hamdan B. Ahmad menyatakan kanak-kanak tersebut merasa seronok di sepanjang perkhemahan di adakan. Mereka menjalankan aktiviti tanpa kecederaan dan pulang dengan selamat. Biasanya perserta perkhemahan, berkhemah sambil bersantai menikmati keindahan alam di sekitar Mutiara Resort terutamanya pada waktu subuh dan senja. Kaunter Mutiara Motor Resorts sentiasa dibuka 24 jam. Ramai pelancong yang hadir ke tempat tersebut.
Kawasan tapak perkhemahan dan reakreasi Mutiara Resorts Kuala Sedili, Kota Tinggi di pagari untuk jalan darat. Kawasan keluar masuk di sediakan pengawal keselamatan. Empat orang petugas untuk meronda kawasan disediakan sepanjang masa. Dua orang peronda untuk waktu malam dan dua orang peronda untuk waktu siang. Terdapat dua orang pekerja untuk membersihkan kawasan dan empat orang pekerja untuk rumah penginapan sebanyak 24 buah. Dewan serbaguna disediakan untuk pelbagai aktiviti dilengkapi dengan penghawa dingin dan kelengkapan perkhidmatan audio sistem. Mutiara Motor Resort mempunyai pekerja seramai 14 orang.
En. Hamdan B. Ahmad menyatakan tapak perkhemahan adalah sesuai mengikut ciri-ciri perkhemahan. Keadaan dinyatakan oleh beberapa pensyarah institut perguruan yang mengadakan program rekreasi luar di tapak perkhemahan Mutiara Motors Resort ini. Kawasan tapak perkhemahan adalah mempunyai ciri-ciri untuk berkhemah yang selamat iaitu, kemah boleh disewa atau dibawa sendiri oleh peserta perkhemahan. Khemah mempunyai berbagai bentuk dan saiz. Khemah didirikan sebagai tempat berteduh daripada hujan atau panas dan juga tempat berehat. Beberapa perkara perlu diambil kira supaya keselesaan semasa menggunakannya terjamin dan tujuan mendirikan khemah tercapai. Antara perkara yang seharusnya diteliti dan difikirkan semasa mendirikan khemah ialah jangan mendirikan khemah di bawah pokok yang tua dan mudah patah kerana besar kemungkinan dahannya boleh patah dan menimpa khemah.
Khemah hendaklah didirikan di kawasan tanah yang rata atau hampir rata. Ini sangat penting untuk mengekalkan kestabilan edaran darah ke seluruh badan. Jangan tidur dalam keadaan kaki lebih tinggi daripada aras kepala kerana peredaran darah menjadi kurang stabil. Dirikan khemah di kawasan yang tinggi sedikit dan bersih dripada batu, lubang, tunggul kayu dan sarang semut. Dilarang mendirikan khemah di kawasan yang berhampiran dengan rumput, lalang yang panjang dan pokok renek. Ini untuk mengelakakan kemungkinan terdapat binatang bisa dan sarang semut.
Perkara yang harus diambil kira ialah keadaan cuaca, arah matahari dan tiupan angin semasa mendirikan khemah. Apabila mendirikan khemah yang tiada berpintu, elakkan cahaya matahari terus memancar ke dalam khemah. Apabila berkhemah dimusim hujan perlu mendirikan khemah berlawanan dengan arah tiupan angin. Ini bertujuan mengelakkan angin yang bertiup membawa air hujan masuk ke dalam khemah. Sebaliknya apabila berkhemah di musim kemarau, khemah hendaklah didirikan menghadap tiupan angin. Tujuannya ini supaya udara yang nyaman bertiup ke dalam khemah. Peserta perkhemahan hendaklah memilih tempat yang selesa dan teduh terutamanya pada waktu tengahari. Khemah didirikan untuk memberi keselesaan dan kerehatan sepanjang masa.
Setelah khemah didirikan peserta khemah hendaklah menggali parit kecil di sekeliling khemah. Apabila hujan turun, air hujan dapat terus mengalir dan tidak bertakung di dalam khemah. Tali khemah hendaklah dipasang dengan betul ke pasaknya. Sewrbuk belerang (sulfur) hendaklah ditabur di sekeliling khemah untuk mengelakkan serangga atau binatang bisa merayap masuk ke dalam khemah pada waktu malam. Ab. Alim Abdul Rahim (1992).
Kawasan tapak perkhemahan dan rekreasi di Mutiara Motors Resort ini diterangi lampu pada waktu malam. Berbagai aktiviti dan pergerakkan mudah dijalankan di kawasan tersebut. Kemudahan lain yang disediakan ialah Bilik Rawatan kecemasan terutama bagi mereka yang hanya mengambil pakej tapak perkhemahan tanpa menyewa bilik penginapan. Tandas yang bersih dan selesa disediakan. Kantin sayang Mutiara disediakan untuk mereka yang ingin menjamu selera. Berbagai makanan laut yang segar disediakan.
Kawasan tapak perkhemahan disediakan dengan pelbagai aktiviti untuk sukan dan permainan. Kawasan tanah yang rata menjamin keselamatan murid-murid berkeperluan khas. Permainan yang disediakan ialah futsal, bola tampar pantai, bola jaring dan peralatan sukaneka seperti terompah gergasi, lari di dalam guni, tarik tali, gelung rotan sekitel dan bola. Alat-alat perkhemahan sentiasa diselia dan dipantau untuk menjamin ketahanan dan keselamatan.
Taman permainan yang disediakan adalah sentiasa berada dalam keadaan selamat digunakan seperti buaian, jongkang-jongkit dan gelongsor. Kanak-kanak begitu gembira menunggang model haiwan batu seperti singa dan harimau. Kawasan tempat rehat disediakan berbentuk pondok-pondok kecil. Pasir di tepi pantai adalah putih dan bersih sesuai untuk menjalankan aktiviti. Pantai adalah landai dan ombak menghempas perlahan aktiviti mandi manda boleh dijalankan. Namun bagi kanak-kanak berkeperluan khas perlu perhatian sepenuhnya daripada guru pengiring tetapi menurut En. Hamdan B. Ahmad biasanya perkhemahan murid-murid sekolah tidak menjalankan aktiviti di air.
Biasanya bagi peserta-peserta perkhemahan untuk murid-murid sekolah mereka akan merentangi kawasan dengan pita keselamatan dan mereka sentiasa berada bersama guru-guru pengiring mereka menjalankan aktiviti yang telah dirancang. Peronda keselamatan Mutiara Motors Resort akan sentiasa memantau dan menyelia aktiviti yang dijalankan bagi menjamin keselamatan.

4.0 Rumusan.
Murid-murid berkeperluan khas perlu diberi pendedahan dengan mengikuti aktiviti di luar bilik darjah seperti berkhemah. Berkhemah dapat menambahkan pengetahuan. Semasa menjalankan aktiviti mereka didedahkan dengan pengalaman sebenar berbanding dengan di bilik darjah mereka diberi penerangan dan teori sahaja. Berkhemah dapat melegakan perasaan yang tegang kerana semasa berkhemah murid-murid berkeperluan khas akan berasa seronok dan dapat mengurangkan tekanan emosi dan dapat memulihkan tenaga. Suasana ketenangan dan kedamaian apabila tinggal di kawasan perkhemahan yang tenang dan jauh dari kesibukan. Jiwa yang tenang akan melahirkan peribadi yang mulia. Melalui aktiviti yang dijalankan,murid-murid berkeperluan khas dapat melatih percaya kepada diri sendiri, berani menghadapi cabaran dan tabah. Latihan seperti ini juga dapat melatih murid-murid berkeperluan khas menjadi kuat, sihat cergas, bertanggungjawab dan mempunyai sifat-sifat yang terpuji. Dalam perkhemahan aspek keselamatan amat dititik beratkan. Keadaan ini meliputi keselamatan di tapak perkhemahan, keselamatan diri dan keselamatan sepanjang aktiviti dijalankan.

BIBLIOGRAFI



Ab. Alim Abdul Rahim (1992). Pandu Puteri Malaysia. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Abdullah Yusof, Safani Bari dan Mohd Mokhtar Tahar (2006). Pengenalan Pendidikan
Khas : Open University Malaysia.

Borhanudin Abdullah, Abdul Razak Sulaiman, Mohd. Fauzi b. Abdul Rahman Dan
Hamizon Hamid (2006). Pendidikan Jasmani Dan Pendidikan Kesihatan Tahun 5 : Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Borhan Yusof, Hasbullah Ismail Dan Mohamed @ Mohd sadek Mustaffa (2008). Gaya
Hidup Sihat: Open University Malaysia.

Julie Gibson et. al (2000). Leisure and recreation. USA : Pearson Education Limited.

Kementerian Kesihatan Malaysia, (2003) Aktiviti Senaman : Kementerian Kesihatan
Malaysia.

Mansor Fadzil Dan John Arul Philips (2007). Kaedah Pengajaran Khas Muzik Dan Seni
Suaian : Open Universiti Malaysia.

Salhah Abdullah (2006). Guru Sebagai Fasilitator : PTS Professional Pbblishing Sdn.
Bhd.

Susanna Clave Philips (2008). Kaedah Pembelajaran Khas Rekreasi Dan Pendidikan
Jasmani Suaian : Open University malaysia.

Richard G. Kraus (1995). Recreation Program planning Today. London, UK ; Scott,
Foreman & Company.

Zuraidah Abdul Rahman (1996). Pembimbing Rakan Sebaya Langkah Seterusnya : IBS Buku Sdn. Bhd.

Zuraidah Abdul Rahman (2005). Fasilitator Kelompok Kecil : IBS Buku Sdn. Bhd.


SUMBER INTERNET.

Fireroll (2008). (t.t) Kepentingan Senaman. Dicapai pada 28 Jun 2009 dari
http://fireroll.blogspot.com/


Malik (2007). (t.t) Senaman. Dicapai pada 28 Jun 2009 dari
http://www.angelfire.com/mn/amalik/senaman.html

Unit Motivasi (2008). (t.t) Dicapai pada 28 Jun 2009 dari
http://www.motivasidiri.com/info.html

0 ulasan: